Inisiatif kerajaan yang mendorong transformasi digital menjadikan enjin carian komponen penting dalam pertumbuhan perniagaan.

Dasar seperti Rangka Tindakan Ekonomi Madani dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) membuka peluang luas dalam industri pemasaran digital, khususnya bidang pengoptimuman enjin carian (SEO), kata pemain industri.
Ketua Pegawai Eksekutif BlackGrid Digital, Nabil Jalil inisiatif kerajaan yang mendorong transformasi digital di semua sektor bukan sahaja mempercepatkan penerimaan teknologi dalam kalangan perniagaan tempatan, malah menjadikan SEO komponen penting bagi kelangsungan dan pertumbuhan sesebuah perniagaan.
“MyDigital menetapkan sasaran jelas sumbangan ekonomi digital kepada KDNK Malaysia sebanyak 25.5% menjelang 2025.
“Ini mendorong banyak syarikat daripada e-dagang, teknologi kewangan hinggalah perkhidmatan kesihatan digital untuk beralih ke platform digital,” katanya dalam kenyataan.
Namun, Nabil berkata sesebuah syarikat memerlukan strategi SEO serta pemasaran digital yang berkesan untuk memastikannya kekal mampan dalam pasaran kian pesat.
Beliau menegaskan dalam era ekonomi digital, keterlihatan adalah kunci kepada kelangsungan sesebuah perniagaan, dengan SEO menjadi jambatan antara syarikat dan keuntungan.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Nabil berpandangan usaha kerajaan menyediakan insentif digital seperti geran pendigitalan, galakan penggunaan awan dan kit digital merupakan pemangkin penting.
Namun, katanya, masih ramai pemilik PKS terlalu bergantung kepada media sosial sebagai saluran digital utama.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperluas skop insentif sedia ada supaya turut merangkumi pembinaan laman web profesional dan perkhidmatan SEO.
Tambahnya, latihan mengenai pulangan pelaburan (ROI) serta perkongsian kajian kes kejayaan boleh membantu PKS memahami nilai sebenar SEO dalam jangka panjang.
“Ramai PKS tidak melabur dalam SEO kerana mereka tidak nampak hasil serta-merta. Tetapi jika mereka tahu bagaimana sebuah klinik kecil boleh meningkatkan prospek tiga kali ganda hanya melalui SEO, pasti mereka akan mula mempertimbangkannya,” katanya.
BlackGrid turut mencadangkan agar SEO dimasukkan secara rasmi dalam pakej alat digital PKS, sama seperti sistem jualan berkomputer dan e-invois yang kini disubsidi.
Nabil menambah, peranan kerajaan memperkukuh ekonomi digital memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang bersedia melahirkan lebih banyak perniagaan tempatan yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga kompetitif di peringkat global.
Dengan cawangan di Kuala Lumpur dan ibu pejabat di Los Angeles, BlackGrid Digital dikenali dengan strategi SEO berasaskan data yang membantu perniagaan menjana trafik organik dan jualan secara mampan.