Berita Harian : AI ubah pola carian di internet, wujudkan saingan

LEBIH sedekad lalu, saya memulakan BlackGrid sebagai firma butik kecil di Los Angeles dengan satu misi mudah, iaitu membantu perniagaan menggunakan kuasa digital untuk berkembang melangkaui batas pemasaran tradisional.

Pada masa itu, pengoptimum enjin carian (SEO) sering dianggap sebagai sampingan. Namun, ia dilihat mampu menjadi tulang belakang kepada kewujudan dan kepercayaan jenama pada alam maya.

SEO muncul nombor satu di Los Angeles antara 2018 hingga 2020 dan kini mengembangkan operasi ke Asia Tenggara. Malaysia menjadi tumpuan utama kerana pasaran ini sedang bergerak pantas daripada fasa mengejar kepada fasa matang. Ramai bertanya, adakah SEO masih penting pada era kecerdasan buatan (AI). Jawapannya ya, malah lebih kritikal. AI tidak memadamkan SEO, sebaliknya mengubah definisi ‘mudah ditemui’ di dunia digital.

Hari ini, jenama perlu membina autoriti topikal, data berstruktur, isyarat jenama kukuh serta kandungan kaya dengan konteks. Jika tidak dilihat sebagai pakar, AI tidak akan sedar dan pelanggan tidak akan menemui apa dicari.

Malaysia mempunyai platform kukuh. Dengan lebih 33 juta pengguna internet dan penembusan mudah alih melebihi 97 peratus, negara ini antara paling berhubung secara digital di rantau ini.

Namun, landskap SEO mempunyai cabaran tersendiri seperti kepelbagaian bahasa, jurang sumber antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar serta sensitiviti peraturan dalam sektor kesihatan, kewangan atau halal.

Di BlackGrid, kami mengatasi halangan ini dengan strategi berfasa. Kami membina kluster kandungan berbilang bahasa yang benar-benar mencerminkan cara masyarakat mencari maklumat, menyediakan rangka kerja patuh peraturan, pada masa sama, menggabungkan iklan berbayar bagi memberi hasil segera sementara SEO mula menunjukkan kesan jangka panjang.

Inisiatif kerajaan sokong revolusi digital

Apa yang lebih menarik, kerajaan melalui inisiatif MyDIGITAL dan Ekonomi MADANI sedang mempercepatkan pendigitalan negara. Matlamat menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bermaksud lebih banyak perniagaan akan beralih ke platform digital.

Namun, berada dalam talian sahaja tidak mencukupi. Jika mahu benar-benar bersaing, syarikat perlu mudah ditemui, dipercayai dan diiktiraf. Di sinilah SEO memainkan peranan paling besar. Tambahan pula, sektor seperti e-dagang, penjagaan kesihatan, hartanah dan pendidikan kini semakin agresif melabur dalam SEO kerana sedar carian dalam talian adalah pintu masuk utama pelanggan.

Bagi industri bernilai tinggi seperti kewangan atau guaman, kehadiran SEO memberikan pulangan berlipat ganda berbanding hanya bergantung iklan berbayar. Peluang besar dalam SEO juga wujud dalam masyarakat berbilang bahasa di negara ini. Tidak cukup sekadar menterjemah, kandungan mesti disesuaikan mengikut mengikut budaya, dialek dan maksud sebenar carian pengguna.

Contohnya, kata kunci ‘klinik gigi murah’ dan affordable dental clinic mungkin membawa maksud sama, tetapi kumpulan sasarannya berbeza. Mengabaikan nuansa ini bermakna hilang separuh pasaran.

Begitu juga keterlibatan komuniti digital. SEO juga mengenai bagaimana jenama membina perbualan dan kepercayaan. Ulasan pelanggan, perkongsian pengalaman di media sosial dan liputan media memberi isyarat kepada algoritma bahawa anda wajar diberi keutamaan. Di sinilah SEO bersilang dengan perhubungan awam (PR) digital – membina kredibiliti berlapis, bukan sekadar teknikal.

Kita perlu mengakui AI mempercepatkan kadar perubahan dalam SEO. Setiap bulan ada sahaja ciri baharu, sama ada dalam Google Search Generative Experience, integrasi carian suara atau peningkatan sistem penilaian kandungan.

Perniagaan tidak boleh hanya menunggu, tetapi mesti belajar menyesuaikan strategi dengan cepat. Dalam dunia digital, yang lambat bukan sahaja ketinggalan, tetapi mungkin hilang terus daripada radar pelanggan.

Masa depan SEO di negara ini akan dipacu kepercayaan. AI, algoritma Google atau teknologi baharu semuanya bergerak ke arah mengangkat jenama benar-benar mempunyai kepakaran, pengalaman dan nilai untuk pelanggan. Perniagaan sanggup melabur dalam membina autoriti digital dan keaslian kandungan akan menjadi pemenang jangka panjang.

Penulis adalah Pengasas BlackGrid Digital Sdn Bhd